Wednesday, July 31, 2013

Niat - Perkara Mudah Yang Dipersulit Oleh Si Jahil

(Petikan Akhbar - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Masalah yang hendak dibincangkan ini adalah perkara penting, kerana ia menyentuh secara langsung terhadap solat. Perkara tersebut ialah masalah 'niat'.

Masalah ini sudah lama menjadi perbahasan dalam masyarakat Islam. Adapun waswas dalam masalah niat berpunca daripada cacat dalam pemikiran atau jahil dalam agama. Takbir berulang kali dengan sebutan serta kekerapan angkat tangan, boleh mengganggu orang lain yang sedang solat, ibarat orang turun naik tangga lantaran hati tidak tenang. Apabila hati tidak tenang akan mengakibatkan gerak-geri tidak tenang juga.

Melaksanakan solat berkehendak kepada hati yang tenang. Supaya hati jadi tenang hendaklah memahami erti 'niat' yang letaknya pada permulaan solat.

Solat itu bermula dengan sebutan "Aa" iaitu permulaan bacaan "Allahu Akbar" dalam takbiratul ihram. Niat letaknya sedikit sebelum ucapan "Aa" itu.

Selepas sebutan Allahu Akbar itu tidak dinamakan niat kerana niat itu sendiri bererti hendak melaksanakan sesuatu sebelum ia dilakukan.

Seandainya seseorang itu tidak memahami kaedah dan kedudukan niat, maka dia akan sentiasa berada dalam keadaan waswas.

Punca waswas ketika hendak solat ialah kerana cacat dan bercelaru dalam pemikiran, atau kejahilan dalam hal ehwal syara' disebabkan tidak mempelajarinya atau solat dalam keadaan sasau.

Menurut pendapat Imam Al-Ghazali jika tidak jahil dan tidak sasau nescaya seseorang itu tidak diganggu waswas, kerana menunaikan ibadat kepada Allah SWT (solat) sama kedudukannya dengan melakukan kerja lain, sama-sama ada niat sebelum melaksanakannya.

Semua gerak-geri manusia dalam melakukan pelbagai urusan mesti didahului dengan niat. Niatnya sama saja dengan niat solat, untuk mengagungkan Allah SWT.

Yang dimaksudkan serupa antara menunaikan ibadat kepada Allah SWT (solat) dengan kerja lain bukanlah serupa dari segenap segi, serupa hanya dari sudut "qasad" (niat).

Sebagai contohnya, sesiapa yang dikunjungi oleh orang alim, lantas bingkas bangun untuk menyambutnya, andainya dia berniat, perlukah dia menyebut beberapa baris ayat seperti: "Saya niat berdiri kerana hendak menghormati orang alim itu dan kuhadap muka kepadanya." Dengan ucapan niat sedemikian nyatalah bahawa orang itu tidak cerdik (safih).

Sebagaimana dimaklumi sejak zaman bilapun orang yang meraikan orang alim itu atau siapa saja, sebaik terpandang orang alim itu muncul di ambang pintu, dengan spontan tercetus di hati hasrat menghormatinya dan secara mendadak bingkas bangun kerana menghormatinya. Kecuali dia bangun kerana ada tujuan lain yang berkebetulan dengan kehadiran orang alim itu. Jika demikian halnya, itu tidak dinamakan hendak menghormati orang alim itu tetapi dia bangun dengan tujuan yang lain ataupun dia bingkas bangun dalam keadaan tidak sengaja.

Timbul pula masalah niat solat itu samada fardhu atau sunat, tunai atau sebaliknya, Zohor atau Asar. Ia adalah serupalah ketika seseorang bingkas bangun dengan tujuan hendak menghormati orang alim yang bertamu ke rumahnya, tiada tujuan selain menghormatinya.

Apabila seseorang mengangkat takbir dengan tujuan hendak solat, apabila solat itu seperti yang dimaklumi, contohnya seperti solat Zohor tidaklah seseorang itu melakukan solat Asar, begitu juga dengan solat fardhu atau sunat.

Setiap orang yang melaksanakan solat, semua perkara itu semestinya telah tersedia di dalam hatinya. Tiada orang yang hendak mendirikan solat dalam situasi tercengang dan termangu, dan tiada sesuatu maklumat mengenai solat yang hendak didirikan. Seumpama seseorang duduk termangu ketika orang alim bertamu ke rumahnya. Jika beberapa ketika kemudian dia bangun juga, maka bangunnya itu tidak dengan niat menghormatinya. Kerana meraikan orang alim tentulah pada awal kedatangannya, tetapi dia tidak berbuat demikian.

Niat menghormati ialah pada awal kehadirannya. Begitulah halnya dengan niat solat. Inilah perkara yang setiap orang telahpun ketahui, kerana ia mesti berlaku secara spontan setiap kali hendak memulakan sesuatu pekerjaan atau ibadat.

Nabi SAW mengajar umatnya rukun solat dengan lengkap, kecuali persoalan niat yang sekadar disentuh secara umum dalam hadisnya yang masyhur; "Setiap amal mesti dengan niat."

Adapun apa yang berlaku ialah takbiratul ihram disebut dengan berjela-jela, lantaran niat kononnya perlu dijadikan suatu susunan perkataan. Bermula dengan menyebut jenis solatnya, fardhu atau sunatnya, jumlah rakaatnya, menghadap kiblatnya dan kerana Allah Taala. Sedangkan niat jika tidak diatur nescaya hadir secara spontan bentuk rangkaiannya dengan lengkap.

Sesiapa yang tidak memahami niat mengikut cara yang dinyatakan ini, seolah-olah dia tidak memahami makna niat itu sebenarnya. Apabila seseorang diajak untuk solat dalam waktu tertentu, lalu dia memperkenan seruan itu lantas berdiri menunaikannya. Sebenarnya itulah yang dimaksudkan dengan "niat', iaitu perasaan yang terbit dari hati hendak melakukan sesuatu perkara.

Begitulah mudahnya niat solat menurut penjelasan Imam Al-Ghazali. Oleh itu jika timbul juga waswas, itu tanda kejahilan menguasai orang tersebut. Ia jadi sukar lantaran diri sendiri menyukarinya.

Disebabkan jahil dalam masalah niat menyebabkan hati bercempera. Waswas akibat memaksa diri memasukkan sesuatu ke dalam hati, iaitu rangkaian perkataan yang disangkanya sebagai niat pada waktu tertentu yang singkat (dalam takbir).

1 comment:

  1. terima kasih. :) moga Allah limpahkan rahmatNya kpd saudara. baru la saya faham maksud niat yang sebenar. begitu mudah rupanya.

    ReplyDelete

Sebarang Komentar yang tidak berkaitan post,berbaur lucah dan mengancam keselamatan akidah akan didelete :)