Profesor Yusof Al Qardawi, ketua kesatuan ulama sedunia dalam memperkatakan tentang ibnu Taimiyyah beliau menyebut, bahawa ibnu Taimiyyah merupakan di antara imam yang memberikan petunjuknya kepada umat manusia dan memiliki tonggak kuat dalam memahami keutamaan dan kefahaman perbandingan.
Ibnu Taimiyyah bukanlah sekadar seorang ulama yang menjadi rujukan umat islam di zamannya,bahkan beliau juga merupakan antara pahlawan islam yang sentiasa turut serta berperang menentang musuh musuh Allah.
Beliau juga disebut sebagai mujaddid atau pembaharu pada zamannya yang mana hasil pemikiran beliau telah menjadi rujukan sehingga ke hari ini melalui hampir 500 karya karya beliau.
Jasa dan hasil pemikirannya ternyata besar kepada umat islam, namun telah menjadi lumrah orang yang berjuang, lumrah orang yang mengikuti jalan para nabi,bahawa fitnah dan hasad dengki manusia lain kepadanya tidak pernah berkurangnya, saat hidupnya sehingga selepas kematiannya, fitnah dan tohmahan buruk tidak pernah lekang dibibir para pendusta agama.
Sewajarnya generasi hari ini tidak termakan dengan dakwaan dakwaan jahat dan keji musuh Sheikh islam tersebut,sebaliknya harus berusaha untuk cuba mengenali siapa ibnu Taimiyyah dengan lebih dekat lagi.
Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Halim bin Abdul Salam bin Taimiyyah al-Harrani al- Hambali merupakan nama penuh ibnu Taimiyyah, dilahirkan di negeri yang terletak ditengah tengah Sungai Dajlah dan Sungai Furat. Keluarga ibnu Taimiyyah terkenal sebagai penganut agama islam bermazhab Hambali yang taat.Pada usia lima tahun ibnu Taimiyyah dan keluarnya menjadi pelarian di Damsyik akibat peperangan yang melanda di negeri yang mereka duduki.
Guru pertama ibnu Taimiyyah adalah ayah beliau sendiri dan kemudian menyambung pengajian di beberapa madrasah lain, sepanjang pengajian itu ibnu Taimiyyah telah menghafal al Quran dan Hadith, beliau telah belajar tafsir, tauhid, fiqh, usul fiqh, ilmu kalam, nahu, saraf, balaghah,mantik,falsafah dan bahasa.
Ibnu Taimiyyah merupakan seorang tokoh yang keras dalam pertahankan kesucian islam, beliau tegas menentang amalan amalan baru yang tiada asas di dalam islam (bid'ah) dan kekufuran, beliau tidak tunduk kepada celaan para penentangnya melainkan terus teguh melaksanakan amar maaruf nahi mungkar. Cita cita beliau hanyalah untuk mempastikan ajaran islam kembali sebagaimana dibawa Nabi Muhammad SAW.
Ketegasan ibnu Taimiyyah menyebabkan beliau terpaksa meringkuk beberapa kali di dalam penjara, samada kerana pegangannya yang tidak seiring amalan pemerintah,mahupun kerana fitnah fitnah para ulama berhati busuk terhadap beliau.
Disebalik ketegasan beliau mempertahankan kesucian agama, ibnu Taimiyyah juga merupakan seorang ulama yang berakhlak mulia dan penyabar, walaupun pernah diberi penghormatan oleh sang penguasa,yang menghadirkan di hadapannya orang orang yang pernah menfitnah,menzalimi,dan mengusir beliau,dan beliau bebas melakukan apa sahaja, namun ibnu Taimiyyah memilih untuk memaafkan mereka.
Ketika tentera tartar menyerang Syam, ibnu Taimiyyah berada di barisan hadapan tentera untuk memerangi musuh musuh Allah ini, beliau bertanggungjawab membakar semangat jihad para pemuda berhadapan tentera Tartar yang kejam dan zalim itu.
Ibnu Taimiyyah juga mempunyai sifat berani yang unggul, kisah beliau berhadapan Qazan yang memimpin armada tentera menyerang negeri Syam, sewajarnya menjadi contoh teladan para ulama hari ini. Apabila mendapat berita akan kedatangan Qazan, ibnu Taimiyyah bersama beberapa ulama mengambil keputusan untuk berjumpa sendiri dengan Qazan bertujuan untuk mendapatkan jaminan keamanan. Pada hari berlangsungnya pertemuan bersejarah itu, Ibnu taimiyyah hadir dengan menyampaikan ayatul quran dan hadis nabi tentang keadilan dihadapan Qazan,dan beliau mengesa para tahanan muslim dikembalikan ke pangkuan keluarga mereka sehinggakan Qazan sendiri kagum dan takjub dengan sikap dan keberanian ulama besar itu.
Pada majlis yang sama saat dihidangkan makanan kepada ibnu Taimiyyah dan para ulama lain, ibnu Taimiyyah enggan memakan makanan tersebut dan apabila ditanya oleh Qazan mengapa beliau bersikap sedemikian, jawabnya ibnu Taimiyyah beliau tidak rela memakan barang rampasan dari harta orang lain. Namun begitu Qazan tetap meminta agar Ibnu Taimiyyah mendoakan beliau, lalu ibnu taimiyyah dengan sukacita mendoakan Qazan yang berbunyi "Ya Allah,sesungguhnya Engkau maha mengetahui,jika dia (Qazan) berjuang untuk meninggikan kalimahMu, berikanlah dia kekuatan dan kemenangan,namun jika dia berjuang demi harta dan dunia, maka berserahlah kepadaMu apa yang perlu dilakukan terhadapnya..."
Qazan tetap mengaminkan doa Ibnu Taimiyyah,namun para ulama yang hadir bersama ibnu Taimiyyah bimbang dan memegang pakaian mereka kerana takut Qazan akan marah dan membunuhnya.
Selesai pertemuan itu, para ulama memarahi ibnu Taimiyyah dengan mengatakan bahawa beliau hampir membinasakan mereka, lalu mereka memilih jalan lain dan ibnu Taimiyyah memilih jalan yang lain juga.